Unit Amal, Blogger Dan Media Diraikan





















IPOH 22 Feb 2009 - Tugas dan pengorbanan anda selama ini amat saya hargai, kata MB Nizar kepada semua ahli unit amal, bloggers dan pihak media di dalam satu majlis meraikan mereka yang diadakan di kediaman rasmi menteri besar pagi tadi.

Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Kamalullail dimulakan dengan bacaan doa oleh AJK Jabatan Amal Perak, Ustaz Kassuri.

Ahli-ahli unit amal yang bertugas di kediaman rasmi semenjak krisis bermula dianggarkan melebihi 200 orang tidak termasuk yang datang daripada segenap pelusuk negara.

Blogger albanjari pula diberi penghargaan untuk menyampaikan ucapan bagi pihak bloggersnetwork@perak dan bloggers-bloggers yang telah hadir.

Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada MB Nizar kerana memberi penghargaan yang sewajarnya kepada pengorbanan para bloggers dalam menyampaikan berita-berita yang terkini dan sahih melalui alam siber@internet. Juga terima kasih beliau kerana MB Nizar membenarkan mereka berkampung di kediaman rasmi untuk memastikan berita-berita yang terkini dapat disampaikan kepada umum.

Setiausaha akhbar MB Nizar, Haji Anuar Hashim memberikan sedikit latar belakang perkenalan beliau bersama MB Nizar yang mana menurutnya, beliau lebih mengenali MB daripada orang lain.

Beliau yang juga bekas ketua biro berita nasional di Pulau Pinang dan mempunyai pengalaman selama 15 tahun di dalam dunia kewartawanan berasa lebih tenang dan berkat apabila bekerja bersama dengan MB Nizar berbanding dahulu. Atas dasar itu, beliau menasihatkan para wartawan baik bloggers mahupun media perdana agar berhemah dan bertanggungjawab didalam laporan yang dibuat kerana segala tulisan dan laporan tersebut akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak. Biarlah laporan yang dibuat telus dalam menyedarkan rakyat dalam membuat pertimbangan yang betul.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada MB Nizar kerana kesempatan yang diberikan bekerja bersama dan memohon ampun dan maaf kepada semua jika ada melakukan kesilapan dan terkasar bahasa semasa menjalankan tugas sebagai setiausaha akhbar MB.

Saudara Ariff B Shaarani, Timbalan Pengarah 1 Jabatan Amal Perak mewakili kesemua petugas-petugas unit amal menyatakan rasa terima kasih kepada MB Nizar kerana membenarkan mereka menjalankan tugasan amal mereka sebagaimana tuntutan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Menurutnya lagi, segala tugasan yang dilakukan mereka hanyalah mengikut arahan pimpinan tertinggi dan seandainya ada salah dan silap mereka, harap dapat dimaafkan. Juga segala tugasan mereka selama ini tidak mengharapkan apa-apa balasan seperti upah ataupun gaji kerana mereka percaya balasan amalan yang akan mereka perolehi di akhirat nanti.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas unit amal yang telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang tanpa mengira waktu.

Umno dan Barisan Nasional umpama pondan yang takut untuk berdepan satu lawan satu dengan Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya seandainya Dun dibubarkan, tegas MB Nizar di dalam ucapannya.

Kerajaan haram umno/bn yang merampas kuasa PR di Perak merupakan kerajaan haram yang kedua di dunia selepas Israel yang merampas tanah Palestin, ujarnya lagi.

Krisis yang berlaku di Perak telah memberikan suatu pengalaman terbaik dan berharga buat pasukan unit amal dan juga para bloggers.

Pesanan beliau kepada pihak media agar melakukan laporan yang telus agar rakyat dapat memilih yang hak dan menolak yang batil. Juga diingatkan akan hari pembalasan dimana akan ditanya nanti segala laporan yang dibuat oleh pihak media.

Kepada para bloggers, MB begitu berbesar hati kerana mereka telah memberikan gambaran yang tepat dan sebenar tentang apa yang berlaku di Perak untuk tatapan seluruh warga Perak dan juga dunia. Berita-berita yang dihidangkan di dunia siber memainkan peranan yang penting dan cepat untuk sampai kepada pengetahuan rakyat.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pasukan unit amal yang telah berusaha keras memastikan keselamatan beliau sekeluarga, kediaman rasmi, para pimpinan PR serta orang ramai yang berkunjung ke kediaman rasmi ini terjaga dengan baik tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Juga penghargaan beliau kepada penderma-penderma yang telah bermurah hati mendermakan pelbagai makanan dan minuman untuk petugas di kediaman. Begitu juga para ustaz dan ustazah yang telah menghidupkan kediaman rasmi ini dengan majlis-majlis yang menjana ilmu orang ramai yang saban hari hadir di sini.

Beliau menasihati agar rakyat Perak bertenang dan berlapang dada dengan apa yang terjadi dan biarlah mahkamah yang akan menentukan mengikut proses undang-undang yang telah dijalankan pihak PR.

Di akhir ucapannya, MB Nizar telah memohon berbanyak-banyak maaf kepada semua seandainya selama 10 bulan memerintah mewakili kerajaan Pakatan Rakyat ini ada melakukan sebarang kesalahan dan kesilapan.

Pihak bloggernetwork@perak telah menyampaikan cenderahati tanda penghargaan mereka terhadap layanan dan perhatian yang telah diberikan MB Nizar sekeluarga kepada para bloggers yang telah berkampung selama 14 hari di sana.

http://ajijoi.blogspot.com/

 
Load Counter